Thursday, March 10, 2011

BENGKEL PEMURNIAN MODUL BAHASA MELAYU PEMULIHAN KHAS DI SEKOLAH KEBANGSAAN DAN SEKOLAH PENDIDIKAN KHAS

Bengkel tersebut diadakan pada 8 hingga 11 Mac 2011 di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri, Beserah, Kuantan, Pahang. Seramai 20 orang Jurulatih Utama Kebangsaan terlibat dalam bengkel ini. Buku Lembaran Kerja Bahasa Melayu Pemulihan Khas dan Modul Bahasa Melayu Pemulihan Khas akan dihasilkan oleh Bahagian Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran Malaysia melalui bengkel ini.
Projek ini telah bermula sejak awal tahun 2010 lagi dan proses pemurnian akhir akan dibuat di Kota Bharu, Kelantan pada bulan April 2011 nanti. Projek ini diketuai oleh Puan Norzalina bt Nasir, Timbalan Pengarah Pendidikan Khas, KPM. 20 orang JU Kebangsaan yang berkampung di Kuantan banyak mengorbankan masa dan buah fikiran dalam merealisasikan projek ini. Ada ketika masuk tidur jam 5.30 pagi dan menguatkan diri untuk bangun jam 6.00 pagi.
Rutin ini sudah menjadi kebiasaan kepada kami setiap kali hadir untuk membina modul. Semua pertimbangan perlu dilakukan agar modul yang dihasilkan berkualiti tinggi.

Friday, March 4, 2011

TAHNIAH KEPADA ENCIK FAKARUDIN


Guru-guru Pemulihan Khas Daerah Mersing mengucapkan tahniah dan rasa bangga dengan perlantikan Encik Fakarudin bin Abd. Ghani sebagai FasiLINUS (Literasi) Daerah Mersing. Mantan Ketua JU Pemulihan Khas Negeri Johor dan JU Kebangsaan ini kini telah mengikuti Kursus Pemantapan FasiLINUS Zon Selatan di Port Dickson.
Ini merupakan pengiktirafan kepada guru pemulihan yang cemerlang. Warga Pemulihan Khas Mersing mendoakan Encik Fakarudin akan terus cemerlang di PPD Mersing dan akan sentiasa membela nasib guru pemulihan Khas yang kini antara teraju utama matlamat LINUS.

Tuesday, March 1, 2011

BAHAN INTERAKTIF HASIL USAHA GURU PEMULIHAN KHAS DAERAH MERSING

 LOGO MARI BELAJAR (MaBe)
 KEMAHIRAN YANG TELAH DIHASILKAN
ANTARA BAHAN YANG DIHASILKAN

Syukur Alhamdulillah, akhirnya bahan interaktif yang dihasilkan oleh Guru-guru Pemulihan Khas dan Intervensi Daerah Mersing dapat disiapkan dan telah dimurnikan. Kini bahan tersebut telah dihasilkan dalam bentuk 'compact disc' (cd). Bahan interaktif Bahasa Melayu ini dicipta bagi menyambung kemahiran yang tidak terdapat dalam bahan ASBALIS. Usaha yang telah dimulakan sejak September 2010 yang lalu akhirnya terhasil juga.
Bahan interaktif Matematik bagi Pemulihan Khas dan Intervensi masih dalam proses pemurnian dan InsyaAllah akan siap sepenuhnya pada bulan April 2011 nanti. Inilah yang dikatakan Guru Pemulihan Khas dan Intervensi Mersing Hebat. Buat ketika ini, bahan ini tidak akan dijual atau diberikan percuma kepada daerah atau negeri lain kerana ianya akan didaftarkan sebagai hak cipta Guru Pemulihan Khas dan Intervensi Mersing.
Guru-guru Pemulihan Khas Dan Intervensi Mersing akan memiliki bahan dalam bentuk cd ini selepas cuti pertengahan semester 1. Kini ianya dalam proses akhir memasukkan program hak cipta agar cd tersebut tidak boleh disalin semula. Keputusan sama ada bahan ini akan dipasarkan atau diedarkan percuma kepada daerah atau negeri lain akan diputuskan dalam mesyuarat Guru-guru Pemulihan Khas dan Intervensi daerah Mersing.
Tahniah kepada semua yang terlibat dalam menghasilkan bahan yang bermutu tinggi ini.
GURU PEMULIHAN KHAS DAN INTERVENSI MERSING HEBAT.