Wednesday, August 18, 2010

BENGKEL PEMBINAAN BAHAN BANTU MENGAJAR

BENGKEL PEMBINAAN  BAHAN BANTU MENGAJAR UNTUK GURU PEMULIHAN KHAS, DAERAH MERSING (MATA PELAJARAN MATEMATIK)

Tarikh          : 25 - 26 Ogos 2010
Masa           : 9.00 pagi - 4.30 petang
Tempat        : PKG Bandar Mersing
Kehadiran wajib. Sila bawa bersama komputer riba, pen drive dan bahan atau alatan yang difikirkan perlu dan sesuai semasa aktiviti pembengkelan tersebut dilaksanakan. GURU PEMULIHAN KHAS MERSING HEBAT.

Wednesday, August 4, 2010

10 PANDUAN MENDIDIK ANAK BUDAYAKAN IBADAT RAMADHAN

KITA akan menyambut Ramadan tidak lama lagi.. Dalam hal ini, bagaimana hendak memberi galakan kepada kanak-kanak supaya berpuasa dengan betul dan pada masa sama menyeronokkan mereka.
Amalkan sedikit kelainan dalam menyambut Ramadan yang bakal menjelang. Sambutan Ramadan disemarakkan dengan mengecat ruang tamu, mengemas rumah. Anak juga dibelikan telekung dan baju Melayu baru supaya lebih bersedia dan berasa seronok menjelang Ramadan. Budaya membaca al-Quran dipertingkatkan. Tidak lupa mengingatkan anak kepada orang miskin dan anak yatim. Mereka digalakkan berjimat cermat dalam berbelanja dan bersedekah dengan duit simpanan sendiri
Sebagai ibu bapa dan orang dewasa kita mestilah berperanan memastikan bahawa ibadat puasa seperti ibadat lain diterapkan dalam diri anak sejak kecil lagi.
Menurut ulama berpuasa tidak wajib bagi kanak-kanak yang belum baligh tetapi perlu dilatih secara beransur-ansur sebagai persediaan untuk menunaikannya secara sempurna dan berkualiti apabila baligh kelak.

Berikut adalah 10 panduan untuk membudayakan ibadat Ramadan dalam diri anak:

1.  Membuat persiapan menyambut Ramadan dengan menghias rumah dan membeli atau membersihkan keperluan ibadat seperti sejadah, songkok dan telekung. Ia dilakukan supaya anak dapat merasakan kepentingan bulan yang mulia ini.
2.  Menceritakan sejarah wajib puasa, mengulang kaji semula rukun, syarat, sunnah, adab dan hikmah puasa supaya anak melakukan ibadah dengan penuh kefahaman dan penghayatan, tidak sebagai ikutan saja.
3.  Melatih anak berpuasa secara beransur-ansur selama beberapa jam dan kemudian beberapa hari. Ganjaran berupa pujian dan hadiah boleh diberikan untuk menggalakkan mereka berpuasa tetapi yang lebih penting selalulah menerapkan dalam diri anak untuk mendapatkan pahala dan keredaan Allah dalam apa juga dilakukan. Bagi anak kecil yang tidak berpuasa raikanlah mereka ketika berbuka dan bersahur supaya mereka dapat bersama berdoa dan berkongsi kegembiraan dengan keluarga.
4.  Memperingatkan anak supaya menjalani ibadah puasa dengan penuh ihsan iaitu merasakan Allah sentiasa bersama dan melihat setiap perbuatan mereka. Latih jiwa anak untuk reda dengan perintah Allah, ikhlas beramal dan menjaga pantang larang berpuasa setiap masa.
5. Menjaga solat fardu lima waktu dan menunaikan solat berjemaah. Bawalah anak untuk bersolat fardu dan Tarawih berjemaah di masjid. Bagi ibu yang tidak dapat ke masjid kerana anak kecil, mereka boleh solat fardu dan Tarawih berjemaah bersama anak perempuan di rumah.
6. Al-Quran diturunkan pada Ramadan, jadi kita perlu mengingatkan anak supaya menghidupkan Ramadan dengan banyak membaca al-Quran. Seeloknya bertadarus bersama sekeluarga supaya dapat memperbetulkan tajwid dan pemahaman anak terhadap al-Quran. Mereka juga boleh digalakkan menghafal surah pendek.
7.  Mengingatkan anak supaya memelihara kesempurnaan ibadah puasa dengan mengamalkan akhlak yang mulia dan menghindari kegiatan sia-sia. Galakkan mereka untuk mengisi masa lapang dengan banyak berzikir dan membaca buku berfaedah.
8. Mengajar anak berjimat cermat dan mengelakkan pembaziran dalam urusan berbelanja untuk berbuka, bersahur dan persiapan hari raya.
9. . Memupuk tolong menolong, berkasih sayang dan mengeratkan silaturahim dengan keluarga, jiran dan sahabat handai seperti mengadakan majlis berbuka puasa bersama serta meningkatkan amalan bersedekah.
10.  Mengingatkan anak supaya tidak mensia-siakan kelebihan 10 akhir Ramadan dan tidak meninggalkan takbir hari raya kerana terlalu sibuk dengan persiapan hari raya. Galakkan anak untuk menyambut hari raya dengan penuh keinsafan dan kesyukuran. Terangkan bahawa konsep Ramadan bagi menjaga tunas amalan yang tumbuh dan subur supaya tidak rosak atau cacat dan terus diamalkan pada bulan berikutnya.

Ibu bapa dan orang dewasa adalah contoh kepada anak. Jadi dalam usaha kita membudayakan ibadah berpuasa yang berkualiti dalam diri anak, kita mesti memperbaharui niat dan azam diri untuk terus memperbaiki akhlak dan amal. Sama-samalah kita panjatkan doa supaya ibadah puasa dan ibadat lain sepanjang Ramadan kali ini dapat dijalankan seisi keluarga dan diterima Allah.

Monday, August 2, 2010

KEMERDEKAAN YANG AMAT BERMAKNA

Murid istimewa tidak ketinggalan bersama-sama menyambut bulan kemerdekaan negara. Sekadar renungan dan berkongsi ilham, keistimewaan mereka besar ertinya kepada sebuah negara seperti Malaysia. Mereka turut mewarnai alam pendidikan negara. Berikan sepenuh kasih sayang kepada mereka dan pastinya mereka akan mengerti menilai baik dan buruk kepada negara mereka. Tahniah kepada semua guru Pendidikan Khas yang telah mendidik mereka. Sempena bulan kemerdekaan, Syawal dan Hari Raya Aidil Fitri, bersama-samalah kita berdoa agar insan istimewa ini akan terus berada dalam kesejahteraan dan menikmati kemerdekaan negara dengan ilmu yang cukup. Sayangi mereka, kasihi mereka.