Thursday, August 20, 2009

Kisah bekas penghidap selsema babi

Saya rasa bertuah kerana dapat menemui seorang guru yang pernah disahkan positif selsema babi (H1N1). Dalam perbualan dengan beliau, keadaannya masih lagi batuk-batuk berpanjangan dan pucat. Ketika menceritakan pengalaman beliau, jelas terpancar keikhlasan agar pengalaman beliau dikongsikan kepada orang lain agar ianya dapat dicegah dengan serius.
Beliau pernah dikuarantin di hospital (rahsia) selama seminggu, kemudian tambahan 4 hari lagi dan seterusnya dikuarantin di rumah selama seminggu lagi. Menceritakan detik-detik cemas, ianya bermula daripada demam panas selama 2 hari diikuti batuk dan selsema. Apa yang ketara, air hidung meleleh tanpa henti (seperti air hidung babi yang selalu meleleh... kata beliau). Demamnya tidak kebah-kebah dan seluruh badan terasa amat bisa hingga tidak termampu nak digambarkan.
Dalam masa 3 hari demam, beliau terus ke hospital. Semasa mendaftar sebagai pesakit beliau pengsan di kaunter. Pengalaman beliau semasa di hospital amat menakutkan kerana kata beliau, sebelah kaki telah melangkah ke alam maut. Saya ada bertanya dari mana beliau mendapat virus tersebut. Jawapannya..... beliau pun tak tahu. Katanya, sebelum demam, beliau hanya ke sekolah mengajar, ke pusat beli belah membeli keperluan, ke pasar dan selebihnya di rumah.
Di sini saya ingin memberikan pendapat, secara hakikatnya selsema babi ini amat serius dan yang pasti ianya BOLEH MERAGUT NYAWA pada bila-bila masa. Datangnya sukar dikesan. Satu lagi untuk renungan kita bersama, dalam Al-Quran ada menceritakan tentang penyakit yang dibawa babi. Melihat keadaan guru tersebut, saya amat insaf dan sedar kita mesti serius menanganinya. Mulakan dengan pemakaian topeng muka. Jangan mendedahkan diri di tempat awam tanpa hal penting. Selebihnya gunakan kewarasan fikiran.