Thursday, November 18, 2010

BEKAS PELAJAR PEMULIHAN KHAS DIKATAKAN GAGAL?


Banyak aduan daripada rakan seperjuangan di Pemulihan Khas yang sedih dan tertekan dengan banyak kenyataan yang dikeluarkan atau dihamburkan daripada mulut pemimpin sekolah dan guru-guru mata pelajaran bahawa bekas pelajar dari kelas pemulihan khas sebenarnya ramai yang gagal dalam peperiksaan akhir tahun yang lalu. Walaupun ditunjukkan bukti daripada IPP2M dan IKAMR yang mereka telah menguasai bacaan, tulisan dan mengira dengan cemerlang, jari tetap dituding kepada guru pemulihan khas yang dikatakan gagal.
Sebelum menuding jari yang satu, ada empat jaring yang menuding kepada mereka. Pelajar pemulihan khas yang telah melepasi IPP2M dan IKAMR  dihantar ke arus perdana. Pastinya iklim atau budaya pembelajaran mereka lalui berbeza semasa di pemulihan khas dan kelas arus perdana. Mereka masih perlukan tindakan susulan secara beransur-ansur dari guru arus perdana.
Sepatutnya guru arus perdana melaksanakan aktiviti pengayaan dan pemulihan semasa pengajaran dan pembelajaran mereka. Itu yang diajar semasa kita dilatih secara profesional untuk menjadi seorang guru. Sudah hilangkah ilmu itu dalam kehidupan kita sebagai guru?
Pihak pentadbir sekolah juga mesti menitik beratkan pemantauan dari aspek pengayaan dan pemulihan semasa pengajaran dan pembelajaran. Pelajar pemulihan khas yang baru melepasi IPP2M dan IKAMR ibarat orang sakit yang baru pulih, sudah pastinya memerlukan proses penjagaan dan pemeriksaan serta pemerhatian yang lebih. Tabahkan diri buat guru-guru Pemulihan Khas. Anggaplah kejadian ini sebagai satu cabaran untuk menjadikan pelajar pemulihan khas pada masa akan datang sebagai seorang cendikiawan. Ini bermakna kita muhasabah diri kita dan bekerja lebih kuat serta atasi kelemahan yang boleh dijadikan racun oleh orang lain untuk meracuni kita.
Seperti kata seorang pemimpin pendidikan negara kita, Guru Pemulihan Khas hari ini terdiri daripada guru terbaik di sekolah itu. Terus maju.

1 comment:

  1. Tersentuh dgn kenyataan ini.. Kuatkan semangat GPK

    ReplyDelete