Tuesday, November 9, 2010

UPSR 2010 - RAMAIKAH BEKAS PELAJAR PEMULIHAN KHAS CEMERLANG UPSR?


Pada hari Khamis, 11 November 2010 keputusan UPSR 2010 akan diumumkan. Pada hari itu semua isu dalam pendidikan dilupakan seketika. Isu pelajar pemulihan khas penyumbang kepada penurunan peratusan kelulusan sekolah juga turut tenggelam seketika. Semua orang akan berkata, "Anak siapa dapat 5A?", "Siapa yang dapat 5A?", "Ramai ke yang dapat 5A?". Ratusan soalan lagi yang akan dihamburkan tentang keputusan UPSR ketika itu.
Pernahkah kita sebagai guru pemulihan khas menerima soalan ini, "Budak yang dapat 5A dan 4A tu, bukankah bekas pelajar pemulihan khas?" Jawapannya pasti sudah dijawab oleh rakan-rakan guru pemulihan khas. Sejarah telah banyak membuktikan ramai bekas pelajar pemulihan khas mendapat keputusan cemerlang dalam UPSR. Namun hakikat yang kita harus terima, tiada siapa yang perasan murid cemerlang tersebut ialah bekas murid pemulihan khas. Hanya kita, guru pemulihan khas yang perasan dan 'syok sendiri'. Itulah hakikatnya.
Walaupun begitu, guru pemulihan khas tetap melaksanakan tugasan sebagai pemulih dan pendidik yang cemerlang, walaupun ada sedikit rasa kecil hati yang mengguris perasaan. Itulah rutin dalam dunia kehidupan guru pemulihan khas. Kalau ada pun yang perasan dan memberikan penghargaan, hanya sebilangan kecil sahaja yang menikmatinya. Ayuh!!!! Guru Pemulihan Khas...... jadikan diri kita 'diam ubi, berisi'. InsyaAllah keikhlasan kita akan dibalas dengan ganjaran kecemerlangan anak kita sendiri (darah daging kita sendiri) dalam akademik, sahsiah dan kehidupan. Itu juga hakikat yang banyak dilimpahi oleh Allah kepada kita. Amin.

No comments:

Post a Comment