Thursday, February 24, 2011

BANGKIT DAN PERTAHANKAN MARUAH (BAHAGIAN AKHIR)



Salam. Bertemu lagi dalam gelanggang bicara ini. Sibuk dengan tugasan menyebabkan bicara ini tidak dapat dipaparkan minggu lalu. Inilah dikatakan utamakan komitmen kepada tugasan di sekolah. Sebelum itu bicara ini mengucapkan tahniah kepada Guru Pemulihan Khas (GPK) yang telah mendapat tawaran melanjutkan pelajaran peringkat Ijazah Pertama melalui Program Pensiswazahan Guru (PPG) secara PJJ bersama IPTA dan Institusi Perguruan.
Dalam masa akan datang pastinya lebih ramai GPK akan memiliki ijazah. Ini salah satu usaha memartabatkan diri kita sebagai GPK. Inilah permulaan kita bangkit dan pertahankan maruah GPK yang pernah dikategorikan sebagai guru 'low class' pada suatu ketika dahulu.
Kita lihat pula hari ini, senario dalam program LINUS. Pelajar kritikal yang digelar LINUS Pemulihan diserahkan kepada GPK. Ini bermakna dunia pendidikan negara kita telah memberikan pengiktirafan bahawa matlamat LINUS boleh dicapai melalui peranan GPK.
Terkini GPK boleh pula mengambil pelajar LINUS sekiranya pelajar LINUS Pemulihan mereka semakin berkurangan. Pastinya, guru Tahun 1 atau 2 yang telah menjalani kursus LINUS akan hanya mengajar pelajar arus perdana sahaja. GPK tidak pernah diberikan pendedahan tentang mengendalikan instrumen saringan, penggunaan modul dan sebagainya. GPK tidak mudah melatah dengan mengeluh dan mengadu dumba sana-sini. GPK tetap profesional kerana mereka tahu, inilah tanggungjawab mereka 'mencelikkan' yang 'buta' huruf dan nombor. GPK telah biasa melalui keperitan ini yang kini ibarat penawar dan bukannya racun kepada mereka.
Secara beransur-ansur ramai di kalangan GPK mula belajar melalui rakan guru LINUS Tahun 1 mengenai pentadbiran dan pengendalian LINUS. Lebih membanggakan, ada sebilangan besar GPK 'berebut' untuk mendapatkan pelajar LINUS secepat mungkin untuk diajar di kelas Pemulihan Khas.
Ayuh...!!!!! Bangkitlah kita GPK ke arah merealisasikan 100% celik huruf dan nombor pada akhir tahun 2012. Walaupun GPK tidak mendapat pendedahan formal mengenai LINUS, kita masih tahu bahawa inilah tanggungjawab kita. Dalam masa terdekat ini sama-samalah kita merujuk kepada FasiLINUS bagi mendapatkan gambaran yang jelas mengenai LINUS. Jangan malu menghubungi mereka dan jemputlah FasiLINUS ke sekolah kerana mereka ialah pembimbing kita. InsyaAllah, kita selaku GPK akan bergerak selari dengan wacana pendidikan negara, Wassalam.

No comments:

Post a Comment