Thursday, January 27, 2011

BANGKIT DAN PERTAHANKAN MARUAH (BAHAGIAN 1)


Isu Guru Pemulihan Khas (GPK) di sekolah sering dikaitkan dengan guru yang bermasalah amat mengecewakan dan sudah ketinggalan zaman. Zaman teknologi yang memacu minda golongan pendidik ke arah yang lebih positif sepatutnya tidak dipersembahkan lagi dengan isu seperti ini. Kita semua sedia maklum (tapi mungkin ada juga yang ketinggalan dengan maklumat ini), semua GPK di sekolah mestilah di kalangan guru yang terbaik. Malah telah banyak sekolah di negara ini, GPK di kalangan DG41. Guru Besar sekolah sendiri pun sedia maklum bahawa mereka mesti melantik guru terbaik sebagai GPK bagi melaksanakan sifar buta huruf.
Cuba kita fikirkan, Guru Besar mana yang hendak 'menjerut leher sendiri' dengan melantik GPK di kalangan guru yang bermasalah. Kelas Pemulihan Khas pada ketika ini merupakan agenda utama dalam pendidikan negara dan sering diberikan perhatian dan kerap kali dipantau. Malah Menteri Pelajaran sendiri pernah bersuara mahukan satu perubahan besar dalam sistem pendidikan negara dan salah satunya ialah melahirkan warga yang celik huruf dan nombor. Kalau menteri sudah membuka mulut, maka yang di bawahnya pasti tidak akan duduk diam. Inilah realiti. Bagi GPK, ini merupakan satu pengiktirafan kepada mereka untuk membuktikan bahawa mereka juga bermaruah.
Sebelum ini ramai di kalangan GPK tidak mampu menangkis 'peluru-peluru' sesat yang sentiasa menuding jari ke arah mereka apabila setiap kali keputusan UPSR diumumkan. Pelajar yang gagal terus 'dicop' sebagai murid pemulihan khas. Adakah mereka bercakap dengan melihat data secara lengkap? Tidak dinafikan memang pelajar pemulihan khas 'menyumbang' kepada kegagalan tetapi apa pula alasan 'mereka' kalau yang gagal itu pelajar arus perdana?
Untuk menutup kelemahan 'mereka' maka terciptalah ayat ini, " murid pemulihan yang menjatuhkan peratus kelulusan'. Ke mana jari dituding? Sudah pasti ke arah GPK. GPK tetap bersabar kerana hanya satu jari sahaja bagi setiap seorang yang menuding kepada mereka tetapi empat jari lagi menuding ke arah 'mereka' sendiri. Itu cerita pada suatu ketika dahulu.
Tidak disangkal 'dalam setandang kelapa pasti ada yang komeng'. Itulah realitinya di kalangan GPK tetapi situasi yang sama juga berlaku kepada guru arus perdana. Cerita hari ini cukup mudah, GPK merupakan antara guru terbaik di sekolah dan ada ramai yang menjadi pakar rujuk dalam ilmu pendidikan di sekolah. Malah langkah KPM memberikan penumpuan kepada masalah buta huruf menjadikan Guru Besar tidak rela diri mereka menjadi antara 'penerima surat tunjuk sebab'. Guru Besar yang tidak mahu terperangkap dalam masalah ini bertindak bijak dengan melantik guru terbaik sebagai GPK. KPM juga telah menempatkan ramai GPK DG41 di sekolah-sekolah.
Kini segalanya terpulang kepada GPK sendiri sama ada membenarkan kata-kata bahawa GPK di kalangan guru bermasalah atau merealisasikan kebenaran bahawa GPK berkhidmat dengan penuh amanah, jujur, bertanggungjawab dan dedikasi serta yang terbaik di kalangan rakan seperjuangan di sekolah. Kita bertemu lagi pada Bahagian 2 minggu depan.

No comments:

Post a Comment