Monday, May 9, 2011

NASIB SEORANG YANG BERNAMA GURU PEMULIHAN KHAS

Salam buat semua setelah sekian lama tidak bersua. Tahniah kepada  semua guru pemulihan khas Mersing kerana kecemerlangan dalam mendidik pelajar LINUS Tegar. Dalam pemantauan Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti ke daerah Mersing pada 18-21 April lalu, dilaporkan guru pemulihan khas telah melaksanakan LINUS dengan cemerlang. Tahniah !!!
Sedang kita di Mersing dipuji, saya ingin berkongsi cerita sedih seorang rakan di daerah lain yang sekolahnya didatangi jemaah nazir. Ketika kehadiran mereka, rakan kita ini merupakan Jurulatih Utama Pemulihan Khas Kebangsaan dan pada hari itu berada di sebuah negeri kerana sedang membentangkan Lembaran Kerja Matematik Pemulihan Khas yang akan digunakan di seluruh negara. 
Semasa ketiadaannya di sekolah, guru LINUS di sekolahnya memberikan respon yang seolah-olah menandakan bahawa rakan kita ini tidak memberikan bantuan kepada guru LINUS. Hakikatnya semasa rakan kita ini berada di sekolah, banyak bahan bantu telah diberikan kepada guru LINUS ini untuk digunakan sebagai bahan tambahan selain modul LINUS.
Rentetan daripada itu, difahamkan laporan yang dibuat ialah Guru Pemulihan Khas ini tidak melaksanakan P&P dan selalu keluar berkursus. Laporan seperti ini seolah-olah membunuh kerjaya rakan kita ini. Fakta sebenarnya ialah tiada lagi murid LINUS Tegar di kelas Pemulihan Khas rakan kita ini. Beliau telah berjaya dalam melaksanakan tugasnya apabila pelajar LINUS Tegarnya telah ke arus perdana. Pelajar pemulihan khas Tahun 3 hanya tinggal 2 orang. Adakah semua fakta ini tidak diambil kira dalam mempertimbangkan laporan yang akan dibuat? Akhirnya rakan kita ini yang pada ketika itu sedang memerah otak untuk melahirkan sebuah lembaran kerja yang akan diguna pakai di seluruh negara tidak mendapat pembelaan daripada rakan setugas iaitu guru LINUS yang banyak mengaut BBM yang dibina oleh rakan kita ini. Malah rakan kita ini digambarkan oleh rakan setugasnya tidak membantu guru LINUS.

Inilah nasib rakan kita. Suka menolong dan membantu rakan di sekolah tapi kesudahannya, periuk nasinya bagaikan dituang pasir oleh rakan setugas yang telah banyak 'membaham' BBM yang dibina dan dibuat oleh rakan kita ini. Malang lagi, segala pengorbanan beliau memperjuangkan nasib rakan pemulihan khas seluruh negara dalam penglibatannya membina lembaran kerja pemulihan khas dan akan diguna pakai di semua kelas pemulihan khas seluruh negara, tidak diendahkan langsung oleh pemantau. 
Mengikut satu surat yang dihantar ke sekolah-sekolah sebelum pemantauan LINUS, guru-guru terlibat tidak dibenarkan bercuti atau berkursus semasa pemantauan dilakukan kecuali di peringkat negeri dan kebangsaan. Salahkan tindakan rakan kita ini ? Satu laporan yang tidak tepat oleh rakan setugas telah terpalit rekod perkhidmatan rakan kita ini. Begitu senang dan mudah menjatuhkan rakan yang tiada untuk membela diri. Pada pengamatan saya mudah sahaja, mungkin ini caranya guru LINUS tersebut melepaskan dirinya yang tersepit kerana kelemahannya.
Akhirnya, derita ini ditanggung sendirian oleh rakan kita ini. Kepulangannya berjuang untuk negara dihampar dengan duri yang bisa. Hancur berkecai semangat rakan kita ini untuk mencipta gemilang dalam bidang pemulihan khas. Siapa yang nak dipersalahkan? Harap rakan-rakan guru pemulihan khas di seluruh negara memberikan sokongan dan semangat buat rakan kita ini. Jadikanlah rakan ketawa ramai, rakan menangis pun ramai dan akan membantu membina semula kekuatan diri rakan kita ini. Beliau seorang guru pemulihan khas yang berwawasan, kreatif dan bertanggungjawab. 
Pengajaran yang boleh diguna  pakai di sini ialah, selepas ini semua bantuan yang guru pemulihan khas berikan kepada guru LINUS MESTILAH didokumentasikan dan ditandatangani walaupun guru itu rakan baik kita sendiri. Mungkin semasa kita ada, semua ok tapi lihatlah apa yang terjadi kepada rakan kita ini. Inilah nasib guru yang dijenamakan GURU PEMULIHAN KHAS. Sebaik mana pun prestasi kita dalam bidang ini, ianya akan musnah sekiranya tiada 'budi bahasa' daripada rakan setugas dan paling terkejut, tiada langsungkah pertimbangan dibuat tentang jasa dan kecemerlangan sebelum laporan 'buruk' dicatat? Dalam situasi sebegini, di mana peranan 'pembelaan' daripada pihak pentadbiran sekolah ketika guru ini tiada untuk membela diri? Atau pihak pentadbiran sekolah tidak tahu pun guru ini banyak berjasa? Ketika guru LINUS mengadu dengan aduan tidak tepat, di mana pentadbir? Adakah pihak pemantau ada bertanya kepada pentadbir mengenai latar belakang rakan kita ini? Semua persoalan ini sukar dijawab oleh kita kerana terpancar kepada kita kelemahan semua pihak. Tiada penyelarasan. Akhirnya..... mangsa situasi ini ialah seorang guru pemulihan khas yang menjalankan tugas besar di peringkat kebangsaan yang pada ketika itu tidak ada semasa pemantauan LINUS yang kebetulan tiada kaitan dengannya kerana semua murid LINUS Tegarnya telah melepasi saringan. 
Memang benar kata pakar motivasi, 'memusnahkan periuk nasi orang amat mudah, tapi hanya orang-orang yang tidak beriman sahaja yang sanggup melakukannya'.

1 comment:

  1. sapa la yang busuk hati macam ni. aku cikgu linus gak tapi tak terlintas nak buat mcm ni. akhir zaman ...............

    ReplyDelete